Alhamdulillah. Hari ini hari ke-3 kita berpuasa di bulan Ramadan, bulan mulia dan penuh keberkatan. Semoga kita semua dikurniakan kesihatan, kekuatan dan kesabaran. Semoga dipermudahkan segala urusan yang kita tempuhi di bulan Ramadan ini.
Entri kali ini sebenarnya uMMiey mahu berkongsi tentang Lala berpuasa di bulan Ramadan tahun ini. Tentu anda juga mempunyai pengalaman masing-masing ketika melatih anak-anak berpuasa terutamanya bagi yang pertama kali berpuasa. Terima kasih kepada yang berkongsi tips melatih anak berpuasa. Ada yang bermanfaat untuk dipraktikkan. Bila anak-anak berpuasa terutama bagi yang pertama kali berpuasa, pelbagai ragam dan keletah, kan? Termasuklah Lala juga. Hari ini hari ke-2 bagi Lala berpuasa. Hari pertama, Alhamdulillah, mudah bagi uMMiey untuk mengejutkan Lala bersahur. Tiada unsur paksaan. Pada waktu pagi kelihatan bersemangat tapi menjelang tengah hari dia beritahu bahawa dia tak larat lagi meneruskan puasanya pada hari itu. Maka, uMMiey benarkan dia berbuka puasa setelah masuk waktu Zohor. Lala mengetahui tentang puasa semestinya melalui cerita Upin dan Ipin yang selalu di tontonnya. Sampaikan kebanyakan dialog dalam cerita Upin & Ipin sudah terhafal dalam mindanya.
Selain daripada itu, penerangan daripada cikgu-cikgu Lala juga banyak membantu Lala mengetahui tentang berpuasa. Terima kasih kepada cikgu-cikgu, ustaz dan ustazah juga kerana peranan anda semua dalam hal ini memudahkan urusan kami sebagai ibu bapa dalam mendidik Lala bersolat, belajar mengaji Al-quran dan berpuasa.
Justeru itu, Lala menyediakan JADUAL LALA BERPUASA DI BULAN RAMADAN. uMMiey membantu Lala melakar petak-petaknya sahaja dan yang selebihnya Lala yang siapkan jadual itu supaya dia dapat merekodkan hari dia berpuasa.
uMMiey doakan semoga Lala dan anak kita semua tetap bersemangat dan kuat untuk meneruskan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan ini dan yang akan datang seterusnya. Semoga Lala menjadi anak yang solehah.
Haa... Macam mana ragam Asyraf pula bila berpuasa nanti ye?....
****************************************
**Lukisan minda terjemahan bicara hati**
***uMMiey ala***
Yang baik jadikan teladan
Yang buruk jadikan sempadan
No comments:
Post a Comment